28/04/2013
SIRI 5 – ETNIK YANG DIANCAM KEPUPUSAN : ETNIK SELAKAU / SELAKO
Etnik Selakau atau Selako merupakan salah satu etnik minoriti di Sarawak Bumi Kenyalang yang kemudiannya telah diserapkan menjadi sub-etnik Bidayuh iaitu etnik pribumi Sarawak yang ke-2 terbesarnya. Pop**asi etnik ini ramai menetap di kampung-kampung di Daerah Lundu, Kuching. Menurut laporan pop**asi yang dinyatakan pada tahun 1988, jumlah etnik Selakau adalah sekitar 5,000 orang. Melihat kepada jumlah yang semakin mengecil ini adalah dipercayai bahawa etnik Selakau seperti etnik-etnik minoriti yang lain juga telah mengalami penurunan akibat daripada amalan kahwin campur yang diamalkan sejak zaman berzaman sehingga kurangnya jumlah pop**asi etnik selakau yang asli.
Etnik Selakau seperti etnik besar Bidayuh juga sebenarnya dikesan berasal daripada asal keturunan etnik dari Kalimantan Barat. Amat sukar untuk mendapatkan keterangan mengapa etnik Selakau meninggalkan tanah asal mereka namun terdapat teori yang menyatakan bahawa etnik Selakau berhijrah daripada tanah asal mereka kerana ingin mencari tanah pamah yang lebih subur dan luas untuk menjalankan pertanian memandangkan suatu waktu dahulu etnik Selakau terkenal dengan kepakaran di dalam bercucuk tanah terutama sekali di dalam penanaman padi. Ada juga teori yang menyatakan bahawa etnik Selakau sebenarnya adalah etnik yang melarikan diri daripada permusuhan dengan beberapa suku etnik di Kalimantan Barat yang mengamalkan budaya “memburu kepala” sehingga membawa mereka berhijrah ke Daerah Lundu untuk hidup dengan aman damai jauh daripada peperangan yang meragut jiwa raga.
Dari segi linguistik, bahasa etnik Selakau tidak sama seperti sub-etnik Bidayuh yang lain seperti Bukar-Sadong tetapi sebaliknya bahasa etnik Selakau mempunyai keunikannya sendiri yang tidak ada pada bahasa etnik-etnik pribumi yang lain. Bahasanya seakan-seakan serupa dengan bahasa masyarakat Melayu namun slanganya adalah berbeza sama sekali.
Suatu waktu dahulu, Etnik Selakau seperti saudara mereka di tanah asal iaitu Kalimantan Barat amat mempercayai animesme ataupun pagan. Secara tradisionalnya, etnik Selakau amat mempercayai Tuhan mereka yang disebut sebagai Jubata atau Dervata (Rujuk Laporan Roth, 1968:7). Di dalam ritual animisme ini, etnik Selakau percaya bahawa kepatuhan dan kesetiaan manusia terhadap roh akan mendatangkan berkah dan setiap yang baik akan mendapat imbalan yang menguntungkan kepada sesiapa yang tidak melanggar apa jua yang diperturunkan sebaliknya jika roh sudah murka maka akan terjadi musibah kepada mereka yang melanggar pantang larang yang dimaksudkan. Namun itu adalah suatu waktu dahulu yang mana sejak kedatangan agama sekitar tahun 1930 an, rata-rata etnik Selakau sudahpun menganuti agama Kristian dan Islam. Bertitik tolah daripada kedatangan agama ini, mereka sudahpun meninggalkan apa yang ditentangi di dalam ajaran agama mereka dan hanya mengamalkan budaya dan adat yang tidak ditegah di dalam agama Kristian mahupun Islam.
Jika etnik Iban terkenal dengan rumah panjang mereka, etnik Selakau juga tinggal di rumah panjang namun rumah panjang mereka mempunyai keunikan yang tersendiri. Rumah panjang mereka lebih dikenali sebagai rumah anja’ng. Rumah Anja’ng ini mempunyai senibina yang tersendiri dan mempunyai beberapa bahagian khusus yang dikenali sebagai pante, sami, nangkat, kamar dan uatnai. Pante merupakan satu laman yang dikhaskan untuk menyidai pakaian selepas dicuci manakala sami adalah tempat yang dikhaskan untuk mengadakan upacara keagamaan. Badukun p**a adalah salah satu ruang yang amat penting kerana disinilah akan diadakan tempat untuk melakukan upacara ritual contohnya mengubati penduduk yang sakit malah ianya juga adalah tempat untuk berkumpul atau bermesyuarat bagi penduduk di rumah Anja’ng menyelesaikan isu-isu yang berbangkit. Nangkat p**a adalah bilik tidur yang dikhaskan untuk anak-anak yang belum berkahwin. Bagi pasangan yang sudah bersuami isteri akan disediakan satu ruang khas untuk mereka yang dinamakan Kamar ataupun bilik tidur. Uatnai’ p**a adalah satu ruang yang digunakan untuk memasak dan mandi.
Antara adat yang sehingga ke hari ini masih dipertahankan di dalam masyarakat etnik Selakau adalah adat Baturih dan adat Batenek. Kedua-dua adat ini hanya diamalkan oleh etnik Selakau dan tidak pada sub-etnik Bidayuh yang lain. Dikala anak lelaki etnik Selakau berumur lebih kurang 12 tahun, anak lelaki ini adalah wajib untuk melalui satu amalan yang dikenali sebagai Baturih. Baturih adalah satu amalan bersunat atau berkhatan . Seorang anak lelaki yang sudah melalui adat Baturih bolehlah dikategorikan sebagai lelaki dewasa dan wajar untuk memikul tanggungjawab di dalam keluarga. Bagi anak perempuan etnik Selakau p**a, mereka akan diwajibkan untuk menjalani adat Batenek sejak kecil lagi. Adat Batenek ini adalah satu amalan menindik kedua-dua telinga anak perempuan. Inilah keunikan etnik Selakau yang membezakannya dengan etnik-etnik lain di Sarawak.
Etnik Selakau merupakan etnik pribumi yang mengamalkan sistem keluarga kognitif. Di dalam sistem keluarga kognitif ini, hak sama rata akan diberikan kepada anak lelaki dan perempuan di dalam perkara yang berkaitan dengan warisan harta dan adat. Walau bagaimanapun, anak lelaki etnik Selakau diberikan kuasa pemutus di dalam apa jua peruntukan harta adat di kalangan ahli-ahli keluarganya yang lain.
Inilah sekelumit bicara tentang etnik Selakau di Sarawak Bumi Kenyalang yang sekarang ini diancam kepupusan. Pop**asi mereka semakin mengecil dek kerana perkahwinan campur yang diamalkan malah mereka juga ditidakkan hak di dalam dokumentasi setelah diasimilasikan di sebagai etnik Bidayuh di negeri Sarawak. Jika dilihat daripada budaya, bahasa dan adat resam mereka adalah amat berlainan dengan etnik Bidayuh yang sebenar. Borneo Oracle mengalu-alukan sebarang nilai tambah informasi bagi membincangkan hal ini. Diharap paparan kali ini akan membantu kefahaman rakyat Sarawak tentang masyarakat yang berada di Sarawak.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.
Borneo Oracle ♥ Sarawak Multi-Races