25/10/2025
Selamat berkunjung ke Booth Pameran Syaikh Jumadil Kubra bersama Pihak Khazanah Fathaniyah di Festival Warisan Pulau Manis, Terengganu.
Booth Pameran berada di Galeri Tok Pulau Manis (sebelah laluan naik ke makam).
Jemput hadir beramai ramai memperingati jasa Leluhur yang membawa cahaya Islam di bumi Nusantara tercinta.
------------
SAYYID SHEIKH JUMADIL AL - KUBRA
INDUK PENYATUAN DAN PERADABAN MELAYU NUSANTARA
Siapakah Syaikh Jumadil Kubra?
Beliau adalah seorang tokoh besar dari keturunan Rasulullah ﷺ dari titisan Imam Musa Kazhim bin Imam Jaafar Sadiq, menjadi ketua Wali Tujuh yang datang ke alam Melayu Nusantara pada abad ke 14 Masihi. Beliau merupakan patriak kepada ramai golongan alim ulama, waliyullah dan raja-raja di pelbagai daulah di rantau ini, daripada abad ke 14-16 Masihi dan seterusnya. Antara umara, raja-raja atau penguasa yang bersusur galur kepada Syaikh Jumadil Kubra adalah dari kerajaan Champa, Patani, Kelantan, Singgora, Kedah, Terengganu, Brunei, Sulu, Mindanao, Palembang, Banten, Cirebon, Ternate dan banyak lagi.
Malahan, sebahagian anak-cucu Syaikh Jumadil Kubra juga bergabung dengan darah Sultanul Awliya' Syaikh Abdul Qadir al Jilani (di Pulau Besar, Melaka) dan Syarif Mekah (di Brunei) dari titisan al Hassani r.a sehingga lebih memberi barokah kepada keluarga mulia ini.
Antara nama-nama yang tersohor daripada kekeluargaan Syaikh Jumadil Kubra di seluruh Nusantara adalah seperti Sayyid Ali Nurul Alam, Syeikh Ibrahim Asmara, Maulana Malik Ibrahim, Syarif Muhammad Kebungsuwan, Sultan Abdullah@ Wan Bo Tri-tri, Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Drajat, Sunan Gunung Jati, Joko Tingkir, Syeikh Wan Ahmad Zain al-Fatani, Syeikh Wan Daud al-Fatani, Tok Hussein (Tok Masjid), Tok Bendang Daya, Syeikh Nik Mat Kechik, Syeikh Khalil al-Bangkalani, Syeikh Nawawi al-Bantani, dan ramai lagi.
Mengapa Syaikh Jumadil Kubra layak dan harus diangkat sebagai Ikon serta Bapa Penyatuan dan Peradaban Melayu Nusantara?
1. Hasil perkahwinan strategik beliau dengan beberapa puteri bangsawan di Nusantara seperti di kerajaan Chermin Jiddah (Kelantan) dan Kesultanan Melaka, bukan sahaja berhasil mewujudkan hubungan kekeluargaan/kekerabatan yang erat dengan penguasa-penguasa tempatan, malahan diambil peluang ini untuk melebarkan jaringan melalui perkahwinan strategik yang sama oleh anak cucunya, juga dengan puteri-puteri bangsawan tempatan yang lain di seluruh Nusantara seperti di Champa, Pasai, Brunei, Sulu, Mindanao, Palembang, Jawa dan sebagainya.
2. Sebagai golongan bangsawan turun temurun (Baghdad-Bukhara-Yunnan), ditambah kedudukan sebagai kerabat diraja di Nusantara, Syaikh Jumadil Kubra dan putera-puteranya aktif membantu dalam pengukuhan Islam dan proses islamisasi di tempat-tempat yang sudah sedia menerima Islam seperti di kerajaan Chermin Jiddah (Kelantan), Pasai dan Kesultanan Melaka, ataupun menggerakkan dakwah kepada para penguasa yang masih belum menerima Islam seperti di Champa, Brunei, Sulu, Mindanao, Palembang dan Jawa sehingga semaraklah usaha dakwah dan islamisasi di pelbagai wilayah di Nusantara.
3. Selain menyasarkan golongan istana, keluarga Syaikh Jumadil Kubra juga memberikan tumpuan kepada usaha mentauhidkan pelbagai golongan masyarakat, membangunkan nilai-nilai akhlakul karimah dan mahabbah Rasul, serta memperkukuhkan aspek spiritual masyarakat melalui bidang tasawuf dalam kerangka fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah. Di mana-mana tempat yang mereka dakwah, pasti akan dibangunkan masjid dan tempat-tempat pengajian Islam, termasuk di dalam istana, di tengah-tengah masyarakat mahupun di pulau, bukit dan gunung untuk rehlah, suluk dan berlatih ilmu kependekaran. Malahan konsep pondok dan pesantren adalah daripada inisiatif keluarga Syaikh Jumadil Kubra sendiri.
4. Antara nilai-nilai yang dihidupkan dan dididik oleh kekeluargaan Syaikh Jumadil Kubra adalah amalan bergotong royong, bermuafakat, sifat kemandirian, adil dan kesaksamaan, amanah, berintegriti, peka kepada keperluan masyarakat dan menjadi ‘solution provider’, iaitu cuba mengatasi masalah dan keperluan masyarakat dengan idea-idea yang bernas selain menaik taraf intelektualisme, strata sosial dan daya juang masyarakat. Sehingga wujudlah Ilmu Kearifan Watan berpaksi Tauhid dan nilai-nilai rahmatan lil ’alamiin daripada sunnah nenda mereka yang agung, iaitu Rasulullah ﷺ.
5. Keluarga Syaikh Jumadil Kubra juga mengerakkan Dakwah bil Hikmah dan Dakwah Budaya, seperti Wali Songo di Jawa, sehingga masyarakat massa yang dahulunya menganuti agama Hindu-Buddha dan animisme mudah menerima ajaran Islam.
6. Keluarga Syaikh Jumadil Kubra juga menyemarakkan usaha kebajikan dan khidmat masyarakat seperti di bidang pertanian, perubatan, kebajikan, adat budaya, membangunkan piagam serta pertahanan agama dan daulah. Malahan mereka juga bersama-sama berjuang dalam gerakan jihad fi sabilillah melawan agresor penjajah seperti kuasa Portugis, Belanda, British, Sepanyol, Siam dll.
7. Hal ini belum termasuk unsur-unsur kewalian dan keberkatan ramai daripada kalangan keluarga Syaikh Jumadil Kubra yang dimanfaatkan oleh golongan istana dan rakyat jelata dalam situasi yang diperlukan atau mendesak. Kisah- kisah kekeramatan dan keberkatan mereka menjadi riwayat turun temurun zaman berzaman, sehingga ada yang turut didokumentasikan.
8.Pada hari ini, umat Islam di seluruh alam Melayu Nusantara yang jumlahnya lebih 300 juta orang patut bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada Syaikh Jumadil Kubra dan anak cucunya, kerana pengislaman serta pembangunan tamadun dan peradaban nenek moyang kita atas asas Tauhid dan Mahabbah Rasul, antaranya adalah atas jasa kelompok hebat ini.
9. Manakala usaha penyatuan dan kebangkitan alam Melayu Nusantara, antaranya berpotensi digerakkan oleh kekeluargaan Syaikh Jumadil Kubra secara inklusif, yang telah mula dijejaki di seluruh Nusantara berjumlah berjuta-juta orang, atas teras NASAB, ILMU, ROHANI dan KHIDMAT.
10. Mengambil iktibar, semangat dan pedoman daripada jatidiri, kehidupan serta perjuangan leluhur yang mulia dan berjasa, moga ianya dapat direalisasikan atas niat lillahi ta’ala dan khidmat kepada Rasulullah ﷺ dengan sokongan, dokongan dan khidmat seluruh umat Islam yang memegang amanah wasiat baginda tentang Ahlul Baitnya.