18/03/2026
15/3 & 17/3 - KELAB EPIC BERSINGGAH SAHUR DI KTSB & KSB
Bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak, Biro Kebajikan Kelab EPIC telah menganjurkan Program Singgah Sahur sebagai inisiatif menyantuni ahli-ahli kelab yang sedang bertugas, di samping berkongsi juadah bagi persediaan bersahur.
Program ini telah diketuai oleh Penaung Kelab, Dr. Ts. Haji Muhtar Suhaili, dengan pengagihan juadah dilaksanakan di sekitar operasi Kumpulan EPIC di Kemaman, melibatkan Operasi, Pangkalan Bekalan Kemaman dan Pelabuhan Kemaman iaitu Dermaga Timur (East Wharf), Dermaga Barat (West Wharf)
Pada 15 Mac yang lalu, Program Singgah Sahur turut diperluaskan ke Kuala Terengganu Support Base (KTSB), dengan penglibatan pihak pengurusan serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Kelab dalam mengagihkan juadah kepada kakitangan syarikat.
Lebih mengujakan lagi, pihak pengurusan turut meluangkan masa beramah mesra bersama ahli-ahli kelab, di samping meninjau aktiviti kerja serta suasana harmoni sepanjang waktu malam di bulan Ramadan.
Pihak Kelab EPIC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Penaung Kelab, Dr. Ts. Haji Muhtar Suhaili dan semua pihak yang telah menjayakan program ini. Semoga segala amalan dan sumbangan yang dicurahkan diberkati serta dikurniakan ganjaran pahala oleh Allah SWT.