02/09/2026
PREBIU PERLAWANAN
KELANTAN CITY FC vs NEGERI SEMBILAN FC
Kelantan City FC bakal berdepan satu ujian besar pada permulaan musim 2026/27 apabila menerima kunjungan kelab Liga Super, Negeri Sembilan FC bagi aksi pertama Pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV.
The Fighters hadir dengan momentum yang agak bercampur namun status sebagai pasukan bukan pilihan sedikit sebanyak mengurangkan tekanan ke atas mereka.
Pada aksi pembukaan Liga A1 Semi-Pro pada 28 Ogos lalu, anak buah Alfredo Gonzalez terikat 1-1 dengan Malaysian University-UiTM. Dalam perlawanan tersebut, Kelantan City FC kelihatan sedikit bergelut untuk tampil lebih meyakinkan.
Walaupun menurunkan kesebelasan terbaik yang dimiliki, mereka tetap berdepan tekanan pada sebahagian besar perlawanan sehingga terpaksa bertahan dan akhirnya tercicir mata penuh.
Bagaimanapun, kelebihan utama Kelantan City FC pada malam ini adalah faktor beraksi di laman sendiri. Mereka perlu tampil lebih kemas di bahagian pertahanan serta mengelakkan kesilapan mudah kerana Negeri Sembilan FC memiliki pemain yang mampu menghukum ruang terbuka dan memanfaatkan serangan balas.
Di pihak lawan, Negeri Sembilan FC hadir dengan pengalaman lebih luas di pentas Liga Super namun mereka juga membawa momentum negatif selepas tewas 1-2 kepada Melaka FC.
Sebelum kekalahan tersebut, Negeri Sembilan FC terlebih dahulu menunjukkan persenbahan positif dengan mendominasi perlawanan termasuk mendahului pihak lawan tetapi keadaan berubah selepas mereka kehilangan Khuzaimi Pie yang dilayangkan kad merah.
Bagi Kelantan City FC, misi utama sudah pasti adalah untuk mendapatkan keputusan tidak kalah dengan kelebihan yang selesa sebelum aksi timbal balik di Paroi nanti. Negeri Sembilan FC p**a dijangka lebih berhati-hati, namun dalam masa sama bakal menurunkan kekuatan terbaik termasuk memanfaatkan tenaga pemain import bagi memburu kelebihan awal dalam pertemuan ini.
Ini merupakan pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan dan pastinya menarik untuk diikuti.
Perlawanan bukan sahaja menjadi ujian besar buat Kelantan City FC malah Negeri Sembilan FC juga tidak boleh mengambil mudah cabaran di Kota Bharu walaupun memiliki kelebihan pemain.
Jika Kelantan City FC mampu mengekalkan disiplin, memanfaatkan setiap peluang dan mengawal minit-minit awal, mereka mempunyai peluang untuk mencipta kejutan ke atas pelawat sebelum aksi kedua di Paroi nanti.
Sama-sama kita saksikan di Kota Bharu, malam ini. Tiket masuk boleh dibeli di kaunter tiket Stadium Sultan Muhammad IV. Sepak mula jam 9.00 malam.