08/06/2026
HAJI BUKAN SEKADAR RITUAL IBADAH, TETAPI JUGA MANUAL AMALAN KEHIDUPAN
Haji bukan sekadar satu ritual ibadah semata-mata. Haji mengajar manusia bagaimana membina karakter, mentaliti, tindakan nyata serta kepimpinan dalam menghadapi cabaran, perubahan dan perjalanan kehidupan menuju kejayaan, kebahagiaan serta keberkatan.
Ketika menelusuri perjalanan hidup Nabi Ibrahim A.S., sebenarnya kita sedang mempelajari satu sistem kehidupan yang kekal relevan untuk diamalkan hingga ke hari ini.
Dalam ilmu kepimpinan diri dan kehidupan, terdapat tiga perkara utama yang menentukan kejayaan seseorang.
Pertama, nilai-nilai (values).
Seseorang perlu berpegang teguh kepada nilai seperti integriti, kejujuran, kedamaian, tanggungjawab dan kebersamaan. Nilai-nilai inilah yang menjadi asas kepada pembentukan karakter yang kukuh.
Kedua, mentaliti.
Tidak cukup sekadar memiliki strong why (orientasi material) atau bahkan big why (orientasi prestij). Manusia memerlukan grand why, tujuan hidup yang lebih besar. Daripadanya lahir misi sejati, ketahanan dalam menghadapi ujian serta kemampuan untuk terus teguh berdiri ketika berhadapan tekanan yang bertali arus. Inilah hakikat Tauhid.
Ketiga, pelaksanaan (eksekusi).
Sebagus mana nilai yang dimiliki dan sekuat mana mentaliti yang dibina, semuanya tidak akan bermakna tanpa tindakan yang nyata.
Menariknya, ketiga-tiga dimensi ini telah diajarkan dalam ibadah haji:
1. Wukuf
Wukuf mengajar manusia untuk kembali menemukan nilai-nilai kehidupan. Ketika hati tunduk dan bermunajat di hadapan Allah, manusia kembali mengenali dirinya, dari mana dia datang dan untuk apa dia hidup.
2. Tawaf
Tawaf membentuk jiwa Tauhid sebagai Grand Why. Seluruh orientasi kehidupan dipusatkan hanya kepada Allah. Dari sinilah lahir mentaliti yang teguh, tidak mudah goyah oleh pujian, tekanan, pangkat mahupun harta.
3. Saie
Saie mengajar erti ikhtiar. Berlari antara Safa dan Marwah bukan sekadar simbolik, tetapi satu pengajaran bahawa iman mesti diterjemahkan melalui usaha yang nyata, kerja yang bersungguh-sungguh dan sumbangan yang memberi manfaat.
Inilah yang dimaksudkan dengan “Arina Manasikana”. “Tunjukkanlah kepada kami cara dan panduan pelaksanaannya.”
Perjalanan napak tilas ini tidak berakhir di Tanah Suci, tetapi terus menjadi panduan hidup yang dihayati sepanjang hayat.