31/10/2020
LAPORAN PENUH PERLAWANAN
Dalam perjalanan menuju ke Jengka, kesemua pemain mendapat laporan yang hujan turun dengan lebatnya di Jengka. Ini tiada sedikit pun mematahkan semangat mereka. Jam 8:30, Kapten Kacang menjadi pemain pertama yang tiba di Stadium Tun Abdul Razak. Satu semangat yang menggambarkan keputusan yang bakal diperolehi.
Lampu stadium dinyalakan pada jam 8:52 malam dan majoriti pemain telahpun siap berpakaian terutamanya pasukan KASFC yang kelihatan segak mengenakan jersi baru. Pengadil membawa bola Mitre Delta Pro SPL masuk ke dalam padang dan meniupkan wisel permulaan permainan.
SDT bermula garang dan kesemua pemain kelihatan serius seperti mengisi markah pelajar dalam SAPS. Akhirnya, Wadi memecah kebuntuan seawal minit kelima menerusi liukan seperti memerang dalam air. Kesemua hadirin dan penonton online tergamam kerana gol itu tau-tau je masuk. KASFC tersentak dengan gol itu dan mereka sedar bahawa SDT meant business. Serious business.
KASFC mula memperkemaskan serangan dan hasilnya mereka memperolehi gol penyamaan menerusi gandingan ipar duai JPN PPD. Hantaran lintang Tuan Penolong Pengarah dihantuk mudah ke dalam gol oleh Encik SISC+. 1-1.
Perlawanan berterusan untuk beberapa minit sehinggalah kealpaan SDT dihukum sekali lagi oleh Tuan Penolong Pengarah yang memotong nipis bola dari luar kotak penalti, menerjah ke penjuru gawang dan gagal diselamatkan oleh peniaga kasut saiz 8, Qiro Hara Al-Senderuti.
Tidak lama kemudian, SDT memperolehi sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalti. Deadball specialist mereka, Fariq Muzakkir dengan mudah memasukkan bola ke dalam gawang menerusi kenyitan mata ke arah Syarawi Hamidi yang merupakan sama-sama die hard Liverpool. Tamat suku masa pertama, KASFC 2 SDT 2.
Bermula sahaja suku kedua, KASFC memberi laluan kepada barisan kedua yang rata-ratanya mengambil masa untuk settle down. SDT menggunakan kesempatan ini untuk menggandakan asakan dan menambah dua lagi jaringan menerusi Fariq Muzakkir yang melengkapkan hat trick beliau. Panggilan ke SPRM terus dibuat serta-merta sebaik sahaja gol keempat SDT hadir. Tamat suku kedua, KASFC ketinggalan 2 gol di belakang. Fariq Muzakkir dilihat berlari ke tepi padang dan menunjukkan isyarat 3 dalam hujan lebat yang menyukarkan pandangan semua pemain dan penonton.
Rupa-rupanya, maksud 3 jari itu adalah 3 gol yang akan dijaringkan oleh KASFC pada suku ketiga. Kerjasama utuh Alumni Clifford dalam KASFC telah membawa 3 gol tambahan kepada pasukan mereka. Gerakan Kacang - Ais - Limi membawa KASFC kembali mendahului. Walaupun Kapten Kacang beberapa kali menghiburkan pasukan sendiri dan lawan menerusi gerakan tanpa lutut, beliau berjaya mengemudi pasukan untuk kembali memberi saingan.
Sementara itu, Kapten Safwan beberapa kali dilihat memegang tangan Penolong Pengarah JPN untuk meminimalkan pergerakan beliau. Pengadil dikhabarkan sengaja memberi advantage kerana armband yang dikenakan pada lengan beliau tertera nama Safwan. Tamat suku ketiga, kedudukan memihak kepada KASFC, 5-4.
Sebelum bermulanya suku terakhir, SDT dilihat tampak serius dengan team talk mereka. Beberapa pemain mereka mula mengalami kecederaan. Tidak kurang juga yang cedera mental.
Kem KASFC masih lagi menanti ketibaan SPRM untuk membuat tangkapan ke atas Syarawi Hamidi. Ahmad Syukur Razali telah pun kembali beraksi di posisi sebenar beliau.
Bermula suku keempat, permainan kelihatan seimbang sebelum pemain veteran Iskandar Nordin menyambut tenang hantaran dari kiri dan menyudahkan gol keenam buat KASFC. Tamat perlawanan, KASFC mengungguli malam penuh gemilang dan ceria dengan jaringan 6 berbalas 4.
Kesemua pemain dilihat gembira kerana rata-rata mereka pertama kali bermain di dalam stadium pada waktu malam. Mereka tidak begitu kisah dengan keputusan perlawanan semalam. Mereka gembira. Satu momen yang patut diabadikan. Kecuali Safwan yang dilihat mula mengalami mental breakdown di media sosial ketika laporan ini ditaip.
Satu penganjuran yang berkualiti. Kesungguhan penganjur perlu diberikan kredit. Namun begitu, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan di masa akan datang. Bagi saya, Baharuddin TM, kedua-dua kapten adalah pemenang kerana berjaya mengendalikan satu acara berprestij seperti ini. TAHNIAH dan teruskan usaha.
BAHARUDDIN TM, ESPN Asia