25/02/2025
Kepada Abang dan guruku Almarhum Ustaz Azhari Mustapha. Sesungguhnya sebagai adikmu, aku merasa sedih dan bersyukur. Sedih kerana tidak sangka 11hb Februari di Airport Senai adalah kali terakhir aku bersalaman dan berpelukan denganmu. Sedih kerana dalam umur yang belum senja, engkau telah dijemput Allah SWT. Sedih kerana dalam keluarga kita, engkaulah satu-satunya abang dan adik yang menjadi rujukan keluarga dalam masalah dan pengetahuan agama. Sedih kerana masih banyak masa dan ruang lagi untuk keluarga kita meluangkan masa denganmu di Malaysia terutama di Johor. Kesedihan ini seperti tidak percaya insan yang bernama Azhari Mustapha tiada lagi buat selama-lamannya di kalangan keluarga kita.
Sedih kerana seperti skrg di whatsapp macam menunggu kata-kata nasihat dan gurau senda darimu. Kehidupan dari alam kanak kanak hingga hari terakhirmu adalah kenangan dan pengalaman manis sebagai sebuah keluarga Hj Mustapha dan Hjh Jilee.
Namun Alhamdulillah. Bersyukur kerana dengan rahmat dan kasih sayangNya, engkau telah dipilih Allah SWT menghembus nafas terakhir di bumi Taif Mekkah setelah menjalankan Ibadah Umrah. Yang aku bersyukur, hembusan terakhirmu dalam keadaan mengambil wudhu dan ingin menunaikan Ibadah solat di Masjid Abdullah Ibnu Abbas. Malah dalam saat saat terakhir, engkau masih sempat berkongsi ilmu bersama jemaah. Engkau telah dikebumikan di tanah perkuburan para Syuhada. Bersyukur kerana dalam hatiku memang tidak terperanjat dengan kurniaan Allah SWT kepadamu. Ini kerana daku sendiri melihat betapa sabar, betapa redha dan betapa gigih engkau mengharungi cabaran hidup dari bujang hingga dikurniakan 6 anak bersama Kak Mala.
Bersyukur kerana aku mempunyai seorang Abang yang mencintai Al-Quran, menubuhkan pusat pendidikan Andalus dan menyemai segala ilmu yang ada hingga hari ini. Betapa engkau telah dipilih Allah untuk meraih segala ganjaran pahala dan amal soleh yang engkau telah menyemai selama ini. Alhamdulillah.
Selamat tinggal Abang dan Guruku Almarhum Ustaz Azhari Mustapha. Abang nombor 9 dalam keluarga kami. Semoga engkau dikurniakan keampunan, rahmat Allah dan ditempatkan bersama para Anbiya, Syuhada dan Siddiqin. Amin Ya Rabbal Alamin.